Wednesday, May 11, 2011

Keajaiban kata-kata



PERNAHKAH kita mendengar ungkapan ini, ‘kata-kata adalah doa.’ Setiap apa yang kita tuturkan memberi kesan pada diri kita. Perkataan positif dapat menjana kesihatan minda dan spiritual, selain menjadikan kita terus bertenaga untuk menjalani kehidupan seharian. Kenyataan ini disokong pakar komunikasi dengan mengatakan perkataan mempunyai kuasa ajaib yang boleh mempengaruhi kehidupan seseorang .

Malah, melalui perkataan yang kita ucapkan ia akan menjadi satu kenyataan dan membentuk kehidupan kita berdasarkan pemikiran kita. Maka tidak hairanlah mengapa sejak kecil lagi kita dididik oleh ibu bapa kita untuk bercakap perkara yang baik dan menghindari perkataan buruk dan keji. Bukan setakat itu saja, kita juga disuruh berlemah lembut dalam setiap pertuturan dan perbuatan serta sentiasa menjaga hati orang lain dalam hubungan sosial.

Masyarakat Melayu zaman dulu berpandukan adab dan nilai murni sebagai garis panduan kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup. Sejak dulu kita diajar untuk berkomunikasi secara berhemah dan tidak menyinggung perasaan orang lain dalam pertuturan seharian kita. Sikap seumpama ini ditekankan lagi dalam banyak pepatah dan bidalan yang berkait rapat dengan bercakap baik dan berhemah.

Umpamanya orang-orang tua selalu berpesan ‘jika bercakap biar berlapik’ jangan menyakitkan hati orang. ‘Cakap siang pandang-pandang cakap malam dengar-dengar.’ Keterlanjuran perkataan memberi kesan kepada pendengarnya dan amat bersesuaian dengan pepatah ‘terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya.’ Pepatah paling popular, ‘sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa.’


Menurut sejarah, zaman kegemilangan tamadun Melayu banyak bergantung kepada nilai murni yang diamalkan pada zaman itu. Namun, apabila zaman beredar dan media baru mempengaruhi kehidupan masyarakat, cara berkomunikasi dan cara hidup juga turut berubah. Nilai murni serta budi bahasa turut mengalami kelunturan dan terancam.


Alasan dan pendapat masa kini mengatakan kita harus berubah sejajar peredaran masa dan teknologi. Perkataan dan cara berkomunikasi menjadi semakin ringkas dan adakalanya membawa maksud dan persepsi berbeza mengikut peringkat umur.

Menurut Zamri Mohamad, seorang perunding bebas dan penulis buku, perkataan mempunyai nilai kuasa tersendiri. Apabila kita mengetahui nilai kuasa tersebut, kita perlu lebih berhati-hati dan bertindak bijak untuk menyebut serta memilih perkataan yang memberi kesan baik kepada diri.

Beliau juga berkata, perkataan yang keluar daripada mulut amat berpengaruh dalam kehidupan. Selain itu menurutnya, perkataan boleh mengubah emosi dan membuat manusia bertindak serta menggambarkan budaya hidup.

Dalam kaitan yang sama apabila perkataan boleh mengubah emosi, kita mengambil contoh perkataan kurang baik dan menjatuhkan maruah seseorang. Secara tidak langsung perkataan seumpama itu akan menyebabkan individu berkenaan bukan saja rasa sedih dan malu malah menyebabkan kehidupan tertekan dan tidak bermotivasi.

Tidak salah jika ingin membetulkan kesilapan seseorang melalui percakapan dan nasihat yang baik serta bahasa lemah lembut yang boleh menaikkan semangat mereka yang mendengarnya.

Nabi juga pernah berpesan dan mengajar kita menggunakan perkataan yang baik-baik kerana ia dapat menghubungkan rasa kasih sayang dan memotivasikan seseorang bagi menuju kejayaan dunia dan akhirat. Dalam kaitan yang sama, sarjana komunikasi sendiri menggariskan antara ciri-ciri komunikasi berhemah ialah bercakap dengan lemah lembut serta menjadi pendengar yang baik. Ini bertujuan menjayakan komunikasi dua hala selain menjalin keharmonian dalam interaksi.

Perkataan tidak manis didengar dan adakalanya menyakitkan hati menyebabkan manusia boleh bertindak di luar jangkaan. Perasaan marah dan sakit hati akibat perkataan menghina dan caci maki menyebabkan pergaduhan berlaku dan ada kalanya melibatkan nyawa dan kerosakan. Mungkin kita banyak membaca laporan di akhbar mengenai isu seumpama itu yang menyebabkan pergaduhan dan permusuhan kerana emosi kemarahan yang tidak dapat dikawal.

Bercakap kurang sopan juga melambangkan sikap dan budaya serta cara hidup seseorang yang dipenuhi dengan unsur negatif. Umpamanya, individu yang selalu cepat marah tidak kira dalam apa juga situasi dan kerap memaki hamun tidak tentu pasal secara tidak langsung melambangkan peribadi kurang elok individu berkenaan.

Kita mungkin pernah berhadapan dengan rakan pejabat, rakan sebaya atau mereka yang berurusan dengan kita yang sentiasa mengeluarkan perkataan tidak sopan dan mudah memaki hamun serta menghina orang lain.

Aura negatif individu seumpama ini akan menyebabkan hidup kita juga tertekan dan tidak tenang untuk berurusan dan berinteraksi. Mereka yang tergolong dalam kumpulan ini sebenarnya mempunyai rasa tidak puas hati dengan diri mereka sendiri dan mengalami harga diri yang rendah.

Sehubungan itu, pakar psikologi mengatakan individu yang berjaya adalah mereka yang mempunyai harga diri tinggi dan berfikiran positif manakala, individu yang gagal mempunyai harga diri rendah serta sentiasa berfikiran negatif.

Mereka yang mempunyai harga diri tinggi bercakap dengan berhemah, bahasa yang mereka gunakan baik, lebih lancar, tersusun, lemah lembut dan tata bahasanya betul. Mereka menggunakan kata-kata jenis positif. Mereka juga menunjukkan komitmen kepada apa yang mereka ucapkan, iaitu mereka menepati janji dan menunaikan kata-kata mereka. Bagaimanapun, mereka yang punyai harga diri rendah adalah sebaliknya.

Ironinya, kata-kata yang baik dan lembut pertuturannya membuatkan kita rasa seronok mendengar dan menghayatinya, sebaliknya kata-kata negatif, kasar dan penghinaan membuatkan kita rasa murung dan tidak bermotivasi. Justeru, walaupun zaman beredar tidak rugi jika kita mempraktikkan cara berbahasa dan bercakap dengan baik kepada semua golongan dan peringkat masyarakat.

Di rumah umpamanya, amalkan cara berkomunikasi yang lembut dan baik dengan seluruh ahli keluarga kerana ibu bapa contoh terbaik kepada anak-anak. ‘Bagaimana kuih begitulah acuannya’ perlakuan ibu bapa menjadi contoh terbaik kepada anak-anak.

Di sekolah dan di pusat pengajian tinggi pula, guru dan pendidik harus mengamalkannya supaya budaya murni ini dicontohi pelajar. Adakalanya guru dan pendidik menyuruh pelajar mengamalkan sikap baik tetapi mereka sendiri tidak mempraktikkannya. ‘Sikap kepemimpinan melalui teladan’ pendidik akan membuatkan pelajar lebih menghormati mereka.

Begitu juga di pejabat, jika menjadi ketua pejabat, komunikasi yang baik dan berhemah menjalin kesejahteraan antara ketua dengan kakitangan serta antara kakitangan dan kakitangan yang lain. Sikap sombong dan tidak mesra seorang ketua pejabat akan menyebabkan produktiviti kakitangan menjadi rendah serta tidak bermotivasi.

Seterusnya sebagai orang awam interaksi yang baik dengan masyarakat umum secara tidak langsung menunjukkan peribadi mulia anda. Mengamalkan cara berkomunikasi yang baik dan lemah lembut sebenarnya boleh mengubah seseorang serta menjaga keharmonian persahabatan seterusnya membina kesejahteraan hidup.

Akhir sekali sifat terpuji yang amat disukai Allah dalam diri seseorang Muslim ialah sifat lemah lembut. Oleh sebab itu, Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Allah itu bersifat lemah lembut dan amat menyukai sifat lemah lembut dalam setiap urusan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


Oleh Hariyati Ariffin
Pensyarah Uitm, Shah Alam

No comments:

Post a Comment